PASTI ramai tertanya-tanya siapakah wanita dalam gambar yang viral di atas dan bawah yang dilihat khusyuk melaksanakan perintah Allah SWT tetapi di sebelahnya terdapat sebuah keranda dengan bunga berbentuk salib di hadapannya...
Tinjau Mynewshub mendapati, keranda itu sebenarnya menempatkan jasad artis Indonesia, Rinto Harahap yang meninggal dunia pada 9 Februari lalu di Singapura selepas menderita sakit kanser tulang dan angin ahmar...
Mendiang yang beragama Kristian menikahi wanita muslim bernama Lily Kuslolita...
Seperti yang kita faham, Indonesia membenarkan perkahwinan antara muslim dan Kristian (yang ditafsir sebagai ahli kitab di sana) tanpa mana-mana pasangan perlu menukar agama masing-masing...
Wanita bertelekung yang sembahyang di sebelah Rinto adalah isterinya itu...
Meninggal dunia pada usia 65 tahun, gambar di atas diambil sebelum mendiang dibawa ke tanah perkuburan bagi disemadikan...
Mendiang merupakan seorang daripada anggota kumpulan pop The Mercy’s yang terkenal di Indonesia dan Malaysia pada 1970-an...
PERKAHWINAN LAIN AGAMA
18 Ogos 2010
Islam meletakkan perkahwinan sebagai syariat yang suci dan murni. Ia bukan suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan atau dicuba-cuba. Ini kerana, perkahwinan akan membentuk sebuah institusi penting iaitu keluarga. Keluarga membentuk sebuah masyarakat. Masyarakat pula membentuk sebuah negeri atau Negara. Perkataan “keluarga” selalu disebut orang bagi merujuk kedudukan kelompok atau kumpulan dalam sebuah masyarakat.
Contohnya, orang akan mengatakan “itu keluarga berada”. “Itu keluarga diraja”. “Itu keluarga bangsawan”. “Itu keluarga seni”. “Itu keluarga beragama”. “Itu keluarga kaya”. “Itu keluarga miskin”. “Itu keluarga malang”. “Itu keluarga baik” dan bermacam lagi sebutan orang. Melihat betapa pentingnya sebuah keluarga, Islam begitu menekankan peraturan ketat dan teratur kepada umatnya dalam hal kekeluargaan.
Dalam ajaran Islam, tidak ada istilah “Kahwin Campur” atau kahwin antara berlainan agama. Contohnya seorang Islam berkahwin dengan seorang Kristian. Atau seorang Islam berkahwin dengan seorang Buddha. Perkahwinan ini adalah terlarang dan tidak diiktiraf. Jika diteruskan juga, perkahwinan itu dianggap sebagai tak sah. Bila tidak sah, maka perkahwinan itu mestilah difaraqkan atau dibubarkan.
Dalam konteks undang-undang keluarga Islam, larangan ke atas orang Islam untuk berkahwin dengan orang yang berlainan agama termaktub dalam seksyen 10 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (2004) Sabah.
Larangan ini walau bagaimanapun dikecualikan bagi perkahwinan antara seorang Islam dengan seorang Kitabiyah. Untuk lebih jelas, Erakita perturunkan kandungan penuh seksyen 10 seperti berikut.
ENAKMEN 8 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2004
BAHAGIAN II – PERKAHWINAN
Seksyen 10. Orang dari agama lain
(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah.
(2) Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam.
Berkenaan pengecualiaan kepada seorang Kitabiyah, persoalan boleh timbul. Siapa dia seorang Kitabiyah yang dikatakan boleh dan sah dikahwini oleh orang Islam? Erakita sukacita ingin merujuk saudara-saudara kepada tafsiran Kitabiyah dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Di bawah ini, diperturunkan kandungan penuh tafsirannya.
AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN I – PERMULAAN
Seksyen 2. Tafsiran.
“Kitabiyah” ertinya –
(a) seorang perempuan dari keturunan Bani Ya’qub; atau
(b) seorang perempuan Nasrani dari keturunan orang-orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau
(c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi ‘Isa menjadi Rasul;
Isu samada masih wujud golongan Kitabiyah pada masa ini, soal itu tidak akan dibincangkan oleh Erakita dalam artikel ini. Mengenai perkahwinan campur atau berlainan agama, tidak ada jalan lain melainkan perkahwinan itu mestilah dibubarkan.
Sebagai umat Islam yang cintakan kesucian agama, kita bertanggungjawap untuk memberi ingatan dan teguran kepada pihak yang telah terlanjur berkawin antara agama supaya mengambil tindakan untuk membubarkan perkahwinan mereka. Apa yang patut dilakukan ialah merujukkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agama di mana-mana yang terdekat dengan pasangan. Nasihat yang berguna dapat diberikan kepada pasangan tersebut.
Perkahwinan yang tidak sah itu hendaklah dibubarkan di Mahkamah Syariah. Setelah dibubarkan, pasangan tersebut boleh memilih untuk berkahwin semula menurut syariat dan undang-undang yang ada atau berpisah terus. Jika ingin berkahwin semula, pihak yang bukan Islam hendaklah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Setelah sah sebagai seorang Islam, baharulah pasangan berkenaan sah untuk bernikah antara mereka.
Justeru, tidak ada jalan singkat untuk berkahwin. Banyak implikasi atau kesan akibat perkahwinan campur itu. Selain tidak sah perkahwinan, pasangan juga menghadapi masalah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka. Pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mempunyai peraturan yang ketat apabila mendaftarkan kelahiran anak-anak. Perkara-perkara seperti sijil nikah atau kahwin, agama ibu bapa dan lain-lain lagi diperlukan untuk memproses pengeluaran sijil lahir anak-anak.
Persoalan timbul. Bagaimana jika pasangan itu tidak ada sijil kahwin? Apa agaknya status anak dalam system pendaftaran JPN nanti? Bukan menjadi satu kejutan andaikata system pendaftaran di JPN nanti meletakkan status anak tersebut sebagai tiada bapa!
Banyak sebenarnya kesan negatif akibat kahwin berlainan agama. Selain menggugat aqidah atau kepercayaan seseorang terhadap agamanya, ia merosakkan institusi kekeluargaan. Ia merosakkan keharmonian antara agama. Ia menjadikan masyarakat celaru. Ia meletakkan anak-anak mereka menjadi mangsa keadaan. Selain terdedah kepada ketiadaan bapa dalam system JPN, anak-anak juga terpaksa berhadapan mengenai status agama mereka. Apakah anak-anak itu dianggap Islam atau sebaliknya. Demikian juga nasab atau keturunan anak tersebut yang turut menjadi persoalan.
Rumusan yang Erakita dapat nyatakan ialah hentikan perkahwinan berlainan agama. Janganlah korbankan kesucian agama semata-mata kerana memenuhi ikatan cinta dengan pasangan. Fikirkan kesannya pada masa hadapan. Kesan buruknya amat besar. Jika hendak berkahwin juga, biarlah menurut hukum agama dan undang-undang.
Sumber: erakita
0 comments:
Post a Comment